Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Selamat Datang Ke Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Jabatan Matematik IPG KBM terletak di Tingkat 11, Menara IPG KBM. Jabatan Matematik digerakkan oleh seorang Ketua Jabatan dan empat orang pensyarah akademik yang dibantu oleh seorang Pembantu Am Pentadbiran.

Saturday, October 30, 2010

Hari Anugerah Inovasi 2010









IPG KBM telah mengadakan Hari Anugerah Inovasi 2010 bertemakan "Pedagogi Pemacu Kualiti Profesionalisme Keguruan" pada 27 dan 28 Oktober 2010, bertempat di Dewan Za'ba dengan jayanya. Jabatan Matematik IPG KBM pada tahun ini hanya diwakili oleh satu penyertaan sahaja bagi kategori Inovasi Pensyarah dengan tajuk "Penggunaan Geometer's Sketchpad Dalam Tajuk Transformation ", oleh Pn Nor Afizah Mohd Noor. Jabatan Matematik turut mengambil bahagian dalam pameran inovasi dimana hasil-hasil kerja kursus pelajar-pelajar PISMP Semester 2 bagi subjek 'Numerical Literacy' dipamerkan.

Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Y. Bhg. Dr. Noryati binti A. Rashid, Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, IPG KPM. Turut serta dlam majlis ini ialah Pengarah yang disayangi, Puan Soriah binti Abdullah dan Timbalan Pengarah, Puan Hajah Jamaliah binti Mohd Salleh.

Jabatan Matematik tidak memenangi sebarang anugerah tetapi tahniah kepada Pn Nor Afizah yang dibantu oleh dua orang pelajar PPISMP 3G, Shuhaimi Nazri dan Eizzuddin Azman kerana kesungguhan yang ditunjukkan semasa menyertai pertandingan inovasi tersebut. Tahniah juga kepada Pn Azizan Yeop Zaharie , Ketua Jabatan Matematik yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan Jabatan Matematik sejak dari awal penyertaan. Jabatan Matematik berharap lebih banyak penyertaan dihantar terutamanya dari kalangan pelajar pada tahun hadapan. Setingi-tinggi tahniah juga kepada Jabatan Penyelidikan Dan Inovasi Profesionalisme Keguruan IPG KBM yang berjaya menganjurkan Hari Anugerah Inovasi tersebut.

Geometer's Sketchpad Sebagai Bahan Bantu Mengajar Untuk Tajuk "Transformation"



Hari ini, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah banyak membantu mempertingkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam sesuatu tajuk. Kebelakangan ini para pengkaji telah menjalankan banyak kajian tentang aplikasi teknologi dalam pendidikan yang mana kebanyakan dapatan menunjukkan kesan positif terhadap kefahaman pelajar dalam sesuatu tajuk yang disampaikan guru. Pengajaran matematik juga tidak dapat lari dari penggunaan teknologi untuk memudahkan pengajarannya. Salah satu teknologi yang diperkenalkan ialah perisian Geometer's Sketchpad (GSP) yang direka cipta untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran matematik terutamanya geometri.

Perisian matematik Geometer's Sketchpad dipelopori oleh Nicholas Jackiw pada tahun 1993 yang pada ketika itu telah memperkembangkan versi pertama The Geometer's Sketchpad. Perisian ini diberi nama sempena Ivan Sutherland's 1963 SKETCHPAD Program, iaitu satu usaha permulaan dalam interaktif komputer grafik (Sutherland, 1963). Pada tahun 2001, Geometer's Sketchpad telah ditambahbaik fungsinya dalam versi ke empat yang memuatkan Geometri Dinamik untuk pengajaran algebra dan kalkulus.

"Transformation" merupakan salah satu cabang di bawah Geometri. Pelajar-pelajar diperkenalkan dengan penjelmaan imej-imej di bawah putaran, pembesaran, translasi dan refleksi. Sebelum GSP diperkenalkan, guru-guru menggunakan kaedah manual iaitu menggunakan alat-alat geometri, kertas dan pensil untuk membina imej-imej yang dikehendaki di bawah setiap jenis transformasi. Kaedah tradisional ini adalah lambat dan adakalanya pelajar- pelajar tidak dapat melukis dengan baik imej-imej yang dikehendaki (Video 1)


(Video 1)

Dengan menggunakan perisian GSP, pelajar dapat membina imej-imej transformasi dengan lebih cepat, imej-imej yang terbentuk tidak tertakluk kepada bentuk-bentuk poligon sahaja dan imej-mej tersebut boleh diwarnai dan diubah kepada bentuk animasi (Video 2).




(Video 2)

Penggunaan GSP memudahkan pelajar memahami konsep-konsep transformasi dengan jelas tanpa penerangan guru yang mendalam. Apa yang menarik, pelajar mendapati pengajaran dan pembelajaran "Transformation" menjadi lebih menyeronokkan dan pelajar terdorong untuk menjadi lebih kreatif dengan mencipta corak-corak tessellation dan kaleidoscope sendiri dengan GSP. (Video 3)


(Video 3)

Tuesday, October 26, 2010

Setinggi-Tinggi Tahniah Buat Pn Nazimah Abdullah


Pada 22 Oktober 2010 bersamaan hari Jumaat, IPG KBM telah mengadakan Hari Kualiti 2010 di Dewan Tun Sri Lanang bermula jam 2.45 petang sehingga 4.30 petang. Tema Hari kualiti tersebut ialah "Kualiti Pemacu Kegemilangan". Puan Darawisah Sayuti telah sudi datang sebagai tetamu kehormat yang mewakili Rektor IPGM, Dr Haili Dolhan yang tidak dapat menghadiri ke majlis tersebut kerana urusan rasmi yang lebih utama.

Jabatan Matematik dengan bangganya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pn Nazimah Abdullah yang telah dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2009. Anugerah yang diterima beliau telah mengharumkan nama baik Jabatan Matematik IPG KBM. Kami berharap dengan anugerah yang diterima akan menjadi motivasi kepada Pn Nazimah untuk berkhidmat lebih cemerlang lagi di tahun-tahun hadapan dan juga menjadi inspirasi kepada pensyarah-pensyarah Jabatan Matematik yang lain untuk memegang anugerah tersebut pada masa yang akan datang. Syabas sekali lagi.




Barisan penerima Anugerah Cemerlang IPG KBM 2010. Pn Nazimah Abdullah berdiri tiga dari kiri.

Monday, October 18, 2010

LPS : Intergrating Technology In Teaching Mathematics


Rekaan Kaleidoscope dengan menggunakan Geometer's Sketchpad

Latihan Pembangunan Staf (LPS) yang dikelolakan oleh Jabatan Matematik telah diadakan pada 18 Oktober 2010, pada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang di Makmal B. LPS itu dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dari Jabatan Matematik sendiri, JTP dan Unit Gerko. Tajuk LPS kali ini ialah "Integrating ICT In Teaching Mathematics ". Semua peserta diperkenalkan dengan perisian Geometer's Sketchpad dan diberi pendedahan tentang penggunaan perisian GSP tersebut.

Geometer's Sketchpad adalah satu perisian yang direka khas untuk memudahkan pengajaran matematik bagi guru-guru dan sangat membantu pelajar untuk lebih memahami konsep-konsep matematik terutamanya untuk tajuk Transformasi, Garisan dan Sudut, Bentuk-bentuk 2D serta Graf. Pengajaran dan pembelajaran menggunakan GSP sebagai alat teknologi dapat mempertingkatkan kefahaman pelajar dalam tajuk-tajuk yang telah dinyatakan tadi.

Salah satu aktiviti LPS tersebut ialah pembinaan Kaleidoscope (corak-corak warna yang bergerak-gerak ) menggunakan GSP. Para peserta berjaya menghasilkan kaleidoscope masing-masing dan dapat menfaatkan LPS yang telah dijalankan.

Friday, October 15, 2010

Al Fatehah Buat Sharifah Nor Asmira Syed Salahuddin

Al Fatehah

Al Fatehah buat Allahyarham Syarifah Nor Asmira Syed Salahuddin yang kembali ke rahmatullah pada jam 12.30 pagi, Jumaat 15 Oktober 2010, setelah 6 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital di Melaka setelah terlibat kemalangan ngeri bas ekspress perhampiran tol Alor Gajah Melaka pada 10 Oktober 2010. (lihat berita di bawah). Allahyarham merupakan pelajar PISMP 4B yang menuntut di Institut ini berasal dari Terengganu. Kini IPG KBM telah kehilangan seorang warganya yang disenangi rakan-rakan serta pensyarah-pensyarah.

Semua warga IPG KBM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan kami berharap keluarga beliau bersabar dengan dugaan permergian anak kesayangan mereka. Kami turut berdoa agar Allah melimpahkan pahala yang besar atas kesedihan dan kesabaran kerana ujian yang menimpa keluarga Allahyarham. Rakan-rakan sekelas Allahyarham terutamanya teman-teman yang rapat juga turut merasa sedih dan terasa kehilangan seorang rakan yang ceria, aktif di kampus Bahasa Melayu dan disenangi semua. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.Amin.

(BERITA)

MELAKA: Seorang lagi mangsa kemalangan ngeri yang membabitkan bas ekspres di Lebuhraya Plus berdekatan tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Ahad lepas, meninggal dunia di Hospital Melaka (HM) hari ini, menjadikan jumlah korban tragedi itu kini berjumlah 13 orang.

Pemangku Pengarah HM, Dr Abdul Raof Jaafar berkata, Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20, dari Terengganu yang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi(ICU) akibat kecederaan parah di kepala, meninggal dunia jam 12 tengah malam tadi.

Sharifah adalah penuntut Institut Pendidikan Guru di Lembah Pantai, Kuala Lumpur jurusan Bahasa Melayu.


"Sementara itu dua lagi yang dirawat di HM iaitu pemandu bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Umar Yusop, 31 dan Hazalizah Paiman, 24, dibenarkan pulang ke rumah petang tadi," kata Dr Abdul Raof di sini hari ini.


Menurutnya, hanya seorang mangsa kemalangan, Shanor Amer Mohamad, 18, masih dirawat bagi menjalani pembedahan tulang rahang.


Kemalangan pada kira-kira jam 6.40 petang Ahad lepas di Kilometer 223, Lebuhraya PLUS itu membabitkan bas ekspres Delima dengan 34 penumpang, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebuah van, dan dua buah kereta, dan ia mengorbankan 12 nyawa pada hari kejadian.-Harian Metro 15 Oktober 2010





Pertandingan Pantun Dan Forum di IPG KBM


Pada 13-14 Oktober 2010, Pertandingan Pantun Dan Forum Zon Tengah dan Zon Selatan 2010 telah diadakan di IPG KBM yang dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Pertandingan Forum dan Pantun ini disertai oleh 9 buah IPGM yang terletak di kedua-dua zon. Pertandingan ini telah menyaksikan kejuaraan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa dalam pertandingan Forum manakala pertandingan Pantun pula dijuarai oleh Institut Pendidikan Guru Perempuan Melayu Melaka.

Jabatan Matematik mengucapkan tahniah kepada IPG Kampus Bahasa Melayu sebagai tuan rumah yang berjaya menduduki tempat ketiga dan kedua dalam pertandingan forum dan pertandingan pantun. Kami berharap pada tahun hadapan IPG KBM akan berjaya memperoleh kedudukan yang lebih baik lagi. Teruskan usaha kepada peserta-peserta yang terlibat dan kami akan terus memberi sokongan yang padu untuk anda semua.




Ujian Akhir Kursus Numerical Literacy WAJ 3105

Selamat berjaya semua.


Ujian akhir Kursus bagi Numerical Literacy WAJ 3105, ketika berita ini ditulis, telahpun diadakan pada 12 Oktober 2010 , bersamaan hari Selasa di Dewan Za'ba pada pukul 8.30 pagi sehingga 10.30 pagi. Kesemu pelajar-pelajar PISMP Semester 2 dari 8 kelas iaitu 2A hingga 2G telah menduduki ujian akhir ini. Kami dari Jabatan Matematik ingin mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar-pelajar PISMP Semester 2.

Saturday, October 9, 2010

Mesyuarat Jabatan Matematik Bil.7/2010

Jabatan Matematik telah mengadakan Mesyuarat Jabatan kali ke 7 bagi tahun 2010 pada 9 Oktober 2010, 8.30 pagi hingga 10.30 pagi bertempat di Jabatan Matematik yang dihadiri oleh empat orang pensyarah Jabatan Matematik termasuk Ketua Jabatan. Antara agenda yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut ialah makluman-makluman dari Mesyuarat MPPP Bil.6 dan Bil.7 2010 serta makluman dari Mesyuarat Keutuhan yang disampaikan oleh Ketua Jabatan, Pn Azizan Yeop Zaharie sebagai Pengerusi mesyuarat. Mesyuarat tersebut juga membincangkan aktiviti jabatan sepanjang Oktober hingga November 2010. Mesyuarat ditamatkan dengan jamuan ringan yang disediakan oleh ahli-ahli mesyuarat.