Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Selamat Datang Ke Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Jabatan Matematik IPG KBM terletak di Tingkat 11, Menara IPG KBM. Jabatan Matematik digerakkan oleh seorang Ketua Jabatan dan empat orang pensyarah akademik yang dibantu oleh seorang Pembantu Am Pentadbiran.

Monday, August 30, 2010

Selamat Hari Merdeka

1Malaysia Menjana Transformasi


Jabatan Matematik IPG KBM mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan yang ke 53 kepada semua rakyat Malaysia amnya dan kepada semua warga IPG KBM khasnya. Tahniah buat semua pelajar-pelajar IPG KBM PPISMP semester 3 dan semester 1 yang terlibat dalam perarakan kemerdekaan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 31 Ogos ini yang mula berlatih sejak 22 Ogos yang lalu. Penglibatan anda semua sudah pasti menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan kali ini. Selamat Hari Merdeka semua !!

UTUSAN MALAYSIA : 29 OGOS 2010 : SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-53 JANJI KEUNIKAN

E-mailCetakPDF HIT : 60

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini menjanjikan persembahan unik berbanding tahun-tahun sebelumnya menerusi penggunaan formasi cahaya serta imej yang menggambarkan semangat 1Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun sambutan kali ini diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, namun semua persembahan berupaya menerapkan pengertian dan mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan Ke-53 memberitahu, antara mesej berkenaan berkaitan pengertian 1Malaysia serta perkara-perkara yang perlu difahami rakyat seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Pelan Transformasi Kerajaan.

''Kira-kira 15,000 rakyat dijangka membanjiri stadium bagi menyaksikan persembahan sempena Hari Kemerdekaan yang banyak melibatkan generasi muda dan pasukan keselamatan.

"Persembahan selama dua jam bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 9.30 pagi itu berkemampuan menjelmakan mesej 1Malaysia dengan pengisian yang lebih tepat,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan raptai penuh upacara sambutan itu di stadium berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Rais berharap rasa penyatuan dan kegembiraan menyambut kemerdekaan dapat dikongsi bersama di kalangan rakyat Malaysia menerusi persembahan yang ditonjolkan.

Berdasarkan raptai itu, beliau amat berpuas hati dengan segala usaha yang dilakukan jawatankuasa tersebut selain persembahan yang ditunjukkan para peserta.

"Saya tidak dapat nyatakan sama ada ia akan menjadi sambutan yang terbaik atau tidak, tetapi sambutan ini kena pada tempatnya dan sesuai dengan masa kita menyambutnya iaitu pada bulan Ramadan.

"Mungkin ada kekangan dari segi perbelanjaan serta tiada perarakan seperti di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, namun ia tetap ada keunikan tersendiri dan jika mendapat reaksi positif, tidak mustahil kita akan menganjurkannya di stadium yang lebih besar pada masa akan datang," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyeru rakyat negara ini agar terus mengibarkan Jalur Gemilang sesudah sambutan kemerdekaan berakhir.

"Selepas 31 Ogos terus kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara kerana kita bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini," katanya.

Monday, August 23, 2010

Program Ziarah Dan Iftar Di Rumah Puan Nor Afizah


Pada 23 Ogos 2010, bersamaan 13 Ramadhan 1431H, seramai 14 orang mentee Puan Nor Afizah dari kumpulan PISMP 4j, major Pra-sekolah telah mengadakan ziarah ke rumah Puan Nor Afizah, pensyarah daripada Jabatan Matematik yang sedang bercuti sakit selama 10 hari, yang terletak di Saujana Impian, Kajang. Kunjungan tersebut bertujuan untuk menziarahi serta bertanya khabar tentang keadaan kesihatan Puan Nor Afizah sambil menjayakan majlis iftar di rumah beliau. Sebelum ini, program iftar bagi kelas PISMP 4j telah dirancang tetapi terpaksa ditunda kerana Pn Nor Afizah bercuti kerana masalah kesihatan.

Beliau merasa amat terharu dan gembira atas kunjungan tersebut dan merasa bersemangat untuk kembali bertugas di IPG KBM. Apa yang istimewa pada kunjungan tersebut, semua juadah iftar dimasak dan disediakan oleh kesemua mentee Pn Nor Afizah, termasuk menaja semua perbelanjaan iftar tersebut dengan menggunakan tabung kelas 4j. Pn Nor Afizah mengucapkan jutaan terimakasih yang tak terhingga kepada semua mentee beliau dan berdoa agar amal jariah yang dihulurkan oleh mentee-mentee beliau akan mendapat ganjaran pahala yang melimpah ruah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh berkah ini.

Di akhir kunjungan , semua kelihatan ceria terutamanya Pn Nor Afizah yang tidak putus-putus menyatakan rasa terharu dan gembira beliau terhadap kunjungan mentee-menteenya. " Saya dan suami serta anak-anak mengucapkan terimakasih yang tak terhingga kepada Yan sebagai ketua tukang masak, Siti, Tuti, Norin, Ju, Mimie, Azie, Nurul, Nonoi, Ita, Fafau, Onie, Ijat dan Bayak , yang bermurah hati menjayakan program ziarah dan iftar ini. Hanya Allah sahaja yang membalas jasa baik kamu semua".


Thursday, August 5, 2010

RAMADHAN AL-MUBARAK


Ya Allah, bersyukur kami ke hadrat Mu, dengan berkat dan kasih sayang Mu ya Allah, sampai jua kami kepada RamadanMu yang ke 1431H pada 11 Ogos ini. Dengan penuh rasa kesyukuran , kami warga Jabatan Matematik IPG KBM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua warga IPG KBM yang beragama Islam. Doa dari kami semoga Ramadhan kali ini membawa perubahan yang positif kepada anda semua. Rebutlah peluang keemasan daripada rahmat Allah serta keampunanNya yang melimpah ruah dibulan yang mulia ini.