Pernah anda bermain dengan kiub rubik ? Pasti ramai yang pernah bermain permainan ini kerana permainan rubik ini amat terkenal di mana-mana sahaja di dunia ini terutamanya di kalangan remaja. Dalam bidang Matematik, kiub rubik ini merupakan model 3D yang begitu menakjubkan.
Kiub rubik mula diperkenalkan pada tahun 1970 oleh seorang berbangsa Hungari yang bernama Erno Rubik. Kiub ini mengandungi 26 kiub-kiub kecil yang dicantumkan pada alat mekanikal dalaman yang mempunyai 3 paksi-paksi yang bersilang. Jadi kesemua kuib-kiub kecil ini boleh bergerak ke mana-mana permukaan kiub dengan memusing dan memulas kiub rubik tersebut.
Sebagai alat permainan, kiub rubik ini telah menjadi kegilaan ramai remaja. Ramai yang telah menyahut cabaran untuk memusing dan memulas kiub rubik yang mempunyai enam warna dengan mengumpulkan warna yang sama pada permukaan yang sama yang mana pada awalnya warna-warna kiub-kiub kecil ini bercampur-campur pada semua permukaan kiub. Cabaran yang paling hebat adalah melakukan pengumpulan warna-warna yang sama pada semua permukaan kiub pada tempoh masa yang singkat. Pada Kejohanan Antarabangsa Kiub Rubik Yang Pertama pada tahun 1982 di Budapest, Hungari, johan pertandingan ini berjaya menamatkan cabaran dalam tempoh 22.95 saat. Dari tahun ke tahun tempoh terpantas telah diperbaiki.
Cubalah ! Sahutlah cabaran rubik. Mungkin anda juga mampu mencatat masa terpantas menyelesaikan kiub rubik ini.
No comments:
Post a Comment