Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menurut laporan akhbar berkata, menerusi pelaksanaan kurikulum baru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran bakal menggunakan pendekatan tertentu. Ia membabitkan pendekatan penyelidikan membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus.Malah, ia turut merangkumi uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesaikan masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.
Namun, keberkesanan kurikulum baru ini bergantung kepada keupayaan guru memperbaiki amalan pengajaran dalam bilik darjah dan strategi yang harus diguna pakai. Antaranya pendekatan pertanyaan yang membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan penuh yang menggabungkan pelbagai teknik berpusatkan pelajaran. Bermakna guru perlu lebih inovatif dalam amalan pengajaran dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif serta memacu potensi inovatif generasi muda.
Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan berkata, pelaksanaan kurikulum baru itu perlu dilakukan kerana guru pada masa ini perlu lebih inovatif dan kreatif dalam pengajaran. Menurutnya, cara pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlulah terkini dan tidak boleh terikat dengan modul lama kerana pemikiran pelajar sudah berubah. "Kaedah yang digunakan kini lebih kepada teori, namun pada zaman serba baru ini, cara itu sudah ketinggalan kerana pelajar lebih agresif dalam pencarian ilmu. "Sudah sampai masanya guru menggunakan mekanisme baru dengan menukar kaedah yang diguna pakai ke arah yang lebih inovasi, kreatif dan ke depan supaya pelajar juga tidak berasa bosan," katanya.
No comments:
Post a Comment