Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Selamat Datang Ke Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Jabatan Matematik IPG KBM terletak di Tingkat 11, Menara IPG KBM. Jabatan Matematik digerakkan oleh seorang Ketua Jabatan dan empat orang pensyarah akademik yang dibantu oleh seorang Pembantu Am Pentadbiran.

Sunday, May 23, 2010

Teks Sains, Matematik dalam bahasa Melayu siap

Utusan Malaysia 18/05/2010


Buku teks matematik dalam Bahasa Inggeris akan digantikan dengan buku teks matematik dalam Bahasa Melayu pada tahun 2011

"PUTRAJAYA 17 Mei - Kerajaan sudah menyediakan buku teks untuk pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi tahun pertama pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persiapan keseluruhan bagi pelaksanaan program itu sudah di peringkat akhir yang akan bermula pada 2012.

‘‘Kita sudah sampai peringkat akhir persiapan, saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia.

‘‘Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan, di sini hari ini.

Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012 setelah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun kerajaan mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan ".

Jabatan Matematik IPGM KBM telahpun mengambil maklum atas perkembangan yang dinyatakan di atas. Segala usaha IPG untuk memertabatkan Bahasa Melayu serta memantapkan Bahasa inggeris (MBM MBI), selaras dengan hasrat kerajaan, Jabatan Matematik IPG KBM akan terus memberi kerjasama yang padu dalam segala program yang akan dijalankan di IPG ini. Buat masa kini, semua interaksi untuk kursus-kursus matematik di IPG KBM masih lagi menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran kerana, IPG sebagai salah satu institusi pengajian tinggi awam di Malaysia masih dituntut meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan sains di dalam Bahasa Inggeris sehingga termansuhnya PPSMI pada 2012.

No comments:

Post a Comment