Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Selamat Datang Ke Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Jabatan Matematik IPG KBM terletak di Tingkat 11, Menara IPG KBM. Jabatan Matematik digerakkan oleh seorang Ketua Jabatan dan empat orang pensyarah akademik yang dibantu oleh seorang Pembantu Am Pentadbiran.
Showing posts with label Maklumat. Show all posts
Showing posts with label Maklumat. Show all posts

Monday, January 23, 2012

Pendidikan Matematik Pada Peringkat Awal Kanak-Kanak.


Dari kajian lepas dalam bidang awal pendidikan matematik kanak-kanak, jelas menunjukkan bahawa pengalaman lepas dalam pengetahuan informal memainkan peranan yang penting dalam menentukan bagaimana kanak-kanak belajar di sekolah. Dalam memperbaiki keberkesanan pendidikan matematik pada peringkat awal, guruguru perlu membina "jambatan" antara pengetahuan yang dibawa oleh kanak-kanak dengan yang diajar dalam bilik darjah.

Seterusnya kita akan bincangkan dan bandingkan cara pengajaran yang lebih tradisional dengan cara pengajaran konstruktif. Walaupun seseorang guru jarang membincangkan pandangan beliau tentang konsep pembelajarannya tetapi padangan beliau akan mempengaruhi cara gaya pengajaran beliau. Seorang yang mempunyai pandangan bahawa seorang pelajar akan memperbaiki kemahiran dengan latihan yang banyak, menunjukkan kebarangkalian yang tinggi mempunyai pandangan konsep pengajaran "transmisi ilmu" dari seorang guru kepada muridnya.
Seorang yang memegang pandangan konstruktivisme akan mempunyai tanggapan yang seorang pelajar adalah aktif dalam pembelajarannya. Seseorang pelajar itu sentiasa membawa idea dan fenomena dari pengalaman hariannya yang dapat digunakan dalam pembelajarannya di dalam bilik darjah. Kita perlu ingat yang pembelajaran matematik bukan sahaja melibat adaptasi ilmu yang baru tetapi juga melibatkan perubahan atau pengkikisan idea lama yang ada pada seseorang kanakkanak. Ia perlu melibatkan sesuatu proses yang aktif di mana seseorang pelajar
bertindak memahami dan membina kefahamannya sendiri tentang sesuatu konsep tertentu.
Antara faktor-faktor penting yang perlu diambilkira dalam persekitaran
konstruktivisme adalah : ( adaptasi dari Driver dan Bell, 1985)
1. 1. "Output" pembelajaran tidak sahaja bergantung kepada persekitaran pembelajaran tetapi pengalaman, sikap dan matlamat pelajar yang terlibat.
2. 2. Pembelajaran melibatkan pembinaan ilmu melalui pengalaman dengan persekitaran fizikal melalui interaksi sosial.
3. 3. Proses konstruktif melibatkan hubungan antara ilmu atau pengalaman lepas dengan proses membentuk, memeriksa dan membina semula idea dan hipotesis.
4. 4. Ia juga melibatkan pengorganisasian semula idea-idea.
5. 5. Makna yang telah dibentuk tidak semestinya membawa kepercayaan.
6. 6. Proses pembelajaran bukan sesuatu yang pasif. Pelajar mempunyai matlamat dan boleh mengawal pembelajaran mereka sendiri.

Antara penyesuaian yang digunakan adalah dalam mengadaptasikan konsep konstruktivisme dalam bilik darjah mereka adalah dengan :
• • membina konteks dalam menerangkan sesuatu konsep atau simbol di dalam darjah.
• • mengkaitkan pengalaman dan pengetahuan yang ada pada kanak-kanak dengan konsep yang diperkenalkan kepada mereka.
• • menekankan penggunaan konsep itu dalam kehidupan seharian.
• • mengunakan peralatan seperti objek yang dapat dimanipulasikan oleh kanak-kanak dalam membina kefahaman mereka

Wednesday, March 30, 2011

Kursus-kursus Matematik Yang Ditawarkan Pada Semester 1, 2011


Pada semester 1 bagi tahun 2011, empat kursus Matematik telah ditawarkankan untuk guru-guru pelatih IPG KBM. Kursus-kursus tersebut ialah Matematik Asas MT 2311D, 1 jam kredit bagi pelajar-pelajar PPISMP semester 2, Pengajaran Nombor, Pecahan, Perpuluhan dan Peratus MTE 3109, 4 jam kredit yang diwajibkan untuk pelajar PISMP Major Pemulihan semester 5, Kurikulum Pendidikan Matematik MTE 3102 , 3 jam kredit untuk pelajar PISMP Major Pemulihan semester 3 dan Minor Matematik, 3 jam kredit yang ditawarkan untuk pelajar KPLI Ambilan Januari 2011 yang mengambil Matematik sebagai kursus elektif. Selamat berkursus semua. Matematik itu mudah !

Thursday, January 20, 2011

Apa Itu LINUS ?

  1. LATAR BELAKANG

    1. Y.A.B Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin telah membentangkan Bidang Keberhasilan Utama [National Key Result Areas (NKRA’s)] Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Ogos 2009.

    2. Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diamanahkan untuk mengawas, melaksana dan menyelaras Ministry Key Performance Indicator(NKPI) 3.2 KPM iaitu semua murid yang tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.

    3. Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) pula dipertanggungjawabkan untuk menerajui projek ini dengan kerjasama semua bahagian dalam KPM. Sehubungan dengan itu, satu program alternatif telah dirangka untuk murid Tahun 1, 2 dan 3 (Tahap I) yang belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Projek ini dinamai Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang merupakan penambahbaikan daripada program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk murid Tahun 1 yang dilaksanakan mulai tahun 2006.

    4. Murid berkeperluan khas yang meliputi murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah kepelbagaian deria, masalah fizikal, dan terencat akal, kurikulum yang khusus telah dibina.

    RASIONAL

    5. Asas literasi dan numerasi merupakan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan murid berkomunikasi dan berinteraksi dalam kehidupan seharian serta untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

    6. Data KIA2M pada tahun 2008 menunjukkan sebanyak 54,000 murid Tahun 1 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi). Data PROTIM tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 48,233 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi) sementara sebanyak 117,000 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas mengira (numerasi).

    7. Data Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM menunjukkan kadar keciciran murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia pada tahun 2008 adalah sebanyak 31,939.

    8. KPM berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi seawal Tahap I. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.

    DEFINISI KONSEP

    9. Definisi LINUS: LINUS ialah akronim bagi “Literacy and Numeracy Screening”. LINUS merupakan program intervensi yang dirangka untuk membolehkan murid memperoleh asas literasi (bahasa Malaysia) dan asas numerasi semasa di sekolah rendah. LINUS disasarkan kepada murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

    10. Definisi Literasi: Definisi literasi adalah “keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk (dengan menggunakan kata hubung), mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian.


    MATLAMAT

    11. Matlamat program ini adalah untuk memastikan semua murid Tahap I sekolah rendah berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi pada akhir tahun 2012 kecuali murid berkeperluan khas.

    OBJEKTIF

    12. Objektif Program Literasi

    Pada akhir Program Literasi murid berupaya:

    i. Mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup;

    ii. membaca dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup; dan

    iii. membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah dengan menggunakan kata hubung ‘dan’.

    13. Objektif Program Numerasi:

    Pada akhir Program Numerasi murid berupaya:

    i. Membaca, menulis, membilang dan menyusun nombor hingga 1000;

    ii. membilang dua-dua, lima-lima dan sepuluh-sepuluh dalam lingkungan 1000 bermula daripada sebarang nombor;

    iii. menyatakan fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi; dan;

    iv. mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik dalam wang, menyatakan waktu, ukuran dan sukatan.

    KUMPULAN SASARAN

    14. Kumpulan sasaran ialah murid Tahap I yang berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi kecuali murid berkeperluan khas yang mengikuti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (Program Pendidikan Khas Integrasi; Masalah Pembelajaran, Masalah Pendengaran dan Masalah Penglihatan) dan Sekolah Rendah Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran), Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

    STRATEGI PELAKSANAAN PROGRAM LINUS

    15. Makmal NKRA bagi program LINUS telah mengemukakan enam strategi utama LINUS iaitu:

    i. melaksanakan saringan terhadap murid pada tahun 1, 2 dan 3;

    ii. melaksanakan fokus intervensi bagi menyediakan program pemulihan dan komprehensif;

    iii. meningkatkan kemahiran pedagogi guru;

    iv. melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti;

    v. menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian; dan

    vi. mewujudkan jawatan fasiLINUS di Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru memastikan murid berupaya membaca, menulis dan mengira.

    16. Murid yang telah dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan diajar secara intensif oleh guru LINUS dan guru pemulihan khas LINUS. Murid yang mengikuti program ini akan menduduki Saringan 2 pada bulan Jun dan Saringan 3 pada bulan September (jika perlu).

    17. Pemilihan Guru LINUS: Guru yang menjalankan program ini terdiri daripada guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap I dan dibantu oleh Guru Pemulihan Khas.

    18. Guru pemulihan khas ditempatkan di sekolah mengikut nisbah murid LINUS tegar. Nisbah guru-murid bagi program ini adalah 1:15 supaya tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada murid berkenaan. Dicadangkan satu jam setiap hari guru pemulihan memberi tumpuan kepada 4 atau 5 orang murid sahaja untuk literasi dan satu jam lagi untuk numerasi.

    19. Guru sedia ada (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik) yang melaksanakan program ini perlu diberi latihan khusus dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk menangani murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi.

    20. Jadual Waktu: Program LINUS dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu Matematik mengikut peruntukan waktu yang sedia ada. Sebanyak 360 minit seminggu diperuntukan bagi Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan dan 270 minit seminggu di Sekolah Jenis Kebangsaan, manakala 210 minit seminggu bagi Matematik.

    21. Pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara untuk menjalankan program ini mengikut kesesuaian waktu dan kemudahan sekolah. Namun, pihak sekolah hendaklah memastikan perlaksanaan program ini berkesan dan mencapai matlamatnya.

    22. Kemudahan ICT: Kemudahan ICT yang terdiri daripada komputer dan LCD yang sedia ada di sekolah perlu dimanfaatkan untuk kegunaan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

    PEMANTAUAN DAN PENYELIAAN

    23. Pemantauan dan penyeliaan dilaksanakan di sekolah terpilih iaitu 8 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah rendah. Pegawai yang terlibat terdiri daripada pegawai Bahagian KPM, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Pemantauan ini akan diterajui oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

    24. Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Akademik di setiap sekolah perlu menyelia Program LINUS dari semasa ke semasa.

    25. Satu mekanisme sistem pelaporan untuk memantau kemajuan murid LINUS diadakan. Status penguasaan murid perlu dilaporkan menggunakan sistem yang dibangunkan oleh KPM setiap kali saringan dilaksanakan.

    KANDUNGAN PROGRAM

    26. Program LINUS menggunakan kurikulum KBSR sebagai asas dalam menentukan skop kandungan pengajaran dan pembelajaran.

    27. Kandungan skop kurikulum literasi bermula dengan pengenalan abjad, suku kata, perkataan, frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah seperti dalam Lampiran 1.

    28. Kandungan skop kurikulum numerasi merangkumi aspek nombor bermula dari sifar hingga angka 1000, yang melibatkan operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi, di samping mengaplikasikannya dalam pengiraan pengukuran seperti dalam Lampiran 2.

    BAHAN DAN INSTRUMEN LITERASI DAN NUMERASI

    29. Murid yang mengikuti Program LINUS menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan numerasi yang sesuai dengan tahap keupayaan murid bagi memastikan kejayaan program ini.

    30. Guru digalakkan menyedia dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian murid dan kreativiti.

    31. Instrumen saringan dibina dan diguna pakai untuk menentukan sama ada murid telah menguasai asas literasi dan numerasi. Pembinaaan instrumen saringan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

    PELAPORAN

    32. Pengumpulan data saringan dan analisis data dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) sementara laporan pemantauan disediakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

    PERJAWATAN

    33. Jawatan fasiLINUS diwujudkan di PPD untuk membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran Program LINUS di sekolah.

    34. Jawatan Guru Pemulihan Khas akan ditambah di sekolah bagi melaksanakan Program LINUS.

    PENUTUP

    35. Program ini menegaskan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid yang berkeupayaan kecuali murid berkeperluan khas pada peringkat awal persekolahan. Komitmen semua pihak adalah diharap untuk memastikan program ini berjaya selaras dengan sasaran NKRA.