Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Selamat Datang Ke Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Jabatan Matematik IPG KBM terletak di Tingkat 11, Menara IPG KBM. Jabatan Matematik digerakkan oleh seorang Ketua Jabatan dan empat orang pensyarah akademik yang dibantu oleh seorang Pembantu Am Pentadbiran.

Monday, May 31, 2010

Hari Guru Peringkat IPG KBM



Hari Guru peringkat IPG Kampus Bahasa Melayu telah diraikan dengan meriah sekali pada 31 Mei 2010 dengan pelbagai program menarik yang telah diatur oleh ahli jawatankuasa Perwakilan Pelajar sebagai penggerak utama. Pada sesi pagi, perhimpunan khas Hari Guru diadakan di Dewan Za'ba dimana perutusan khas Hari Guru 2010 dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd Dom dibacakan oleh wakil dari HEP, Pn Mahani manakala perutusan khas dari Menteri Pelajaran, Y.A.B. Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, disampaikan oleh KUKP, Pn Zaidah Marjan.





Hari Guru 2010 IPG KBM, dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa" telah dirasmikan oleh Pengarah IPG KBM, Pn Soriah Abdullah di mana beliau sendiri telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru IPG KBM 2010. Beliau melahirkan rasa terharu dan gembira atas penghormatan yang diberikan oleh kesemua warga IPG Kampus Bahasa Melayu. Majlis Hari Guru tersebut telah dimulai dengan pembacaan tiga perutusan Hari Guru dan seterusnya dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik daripada pelajar dan pensyarah sehingga jam 12.30 tengahari.
Di sebelah petangnya pula, senamrobik diadakan di tempat yang sama manakala sukaneka dijalankan di padang IPG KBM. Walaupun hujan lebat, program sukaneka dapat diteruskan juga dengan jayanya. Aturcara lain yang dijalankan termasuklah pameran khas Hari Guru serta kaunter-kaunter jualan dibuka disepanjang foyer Dewan Za'ba. Jabatan Matematik IPG KBM ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat Hari Guru 2010 kepada semua warga IPG KBM.




Monday, May 24, 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan Mei 2010





Peperiksaan semester pertama 2010 bagi semua IPG di Malaysia bermula pada 18 Mei sehingga 28 Mei 2010. Jabatan Matematik IPG KBM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada kesemua calon-calon IPG KBM, terutamanya kepada calon-calon PPISMP 2G yang menduduki kertas MT 2313P dan calon-calon PISMP 3F yang menduduki kertas MTE 3102 Mathematics Education Curriculum. Usaha yang gigih, pasti akan menempa kejayaan. Pelajar-pelajar kursus matematik pasti ingat ungkapan ini " PRACTICE MAKES PERFECT". Selamat berjaya semua.






Sunday, May 23, 2010

Teks Sains, Matematik dalam bahasa Melayu siap

Utusan Malaysia 18/05/2010


Buku teks matematik dalam Bahasa Inggeris akan digantikan dengan buku teks matematik dalam Bahasa Melayu pada tahun 2011

"PUTRAJAYA 17 Mei - Kerajaan sudah menyediakan buku teks untuk pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi tahun pertama pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persiapan keseluruhan bagi pelaksanaan program itu sudah di peringkat akhir yang akan bermula pada 2012.

‘‘Kita sudah sampai peringkat akhir persiapan, saya telah pun mempengerusikan mesyuarat tentang itu pada dua minggu lepas di mana kita sudah pun bersedia.

‘‘Sekarang ini adalah di peringkat penyediaan buku-buku teks untuk tahun pertama yang kita telah umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan, di sini hari ini.

Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012 setelah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun kerajaan mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan ".

Jabatan Matematik IPGM KBM telahpun mengambil maklum atas perkembangan yang dinyatakan di atas. Segala usaha IPG untuk memertabatkan Bahasa Melayu serta memantapkan Bahasa inggeris (MBM MBI), selaras dengan hasrat kerajaan, Jabatan Matematik IPG KBM akan terus memberi kerjasama yang padu dalam segala program yang akan dijalankan di IPG ini. Buat masa kini, semua interaksi untuk kursus-kursus matematik di IPG KBM masih lagi menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran kerana, IPG sebagai salah satu institusi pengajian tinggi awam di Malaysia masih dituntut meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan sains di dalam Bahasa Inggeris sehingga termansuhnya PPSMI pada 2012.

Friday, May 21, 2010

Selamat Hari Guru


Jabatan Matematik IPG KBM ingin mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua warga IPG KBM terutamanya kepada semua pensyarah-pensyarah Jabatan Matematik serta bakal-bakal guru yang sedang mengambil kursus-kursus Matematik di kampus Bahasa Melayu. Tema tahun ini ialah "GURU PEMBINA NEGARA BANGSA" diharap dapat dihayati sepenuhnya oleh semua warga pendidik di tanah air ini. IPG KBM akan meraikan Hari Guru di peringkat IPG pada 31 Mei 2010 dengan mengatur pelbagai program menarik untuk pensyarah dan guru-guru pelatih.
Menteri Pelajaran dalam ucapan khas beliau sempena Hari Guru 2010 telah menyampaikan beberapa berita baik buat golongan pendidik dengan mengumumkan beberapa insentif kenaikan pangkat serta imbuhan. Kita berharap dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap beban guru masa kini , dapat memberi nafas lega kepada para pendidik yang merasakan penat lelah mendidik selama ini terbayar dengan berita yang diterima. Cabaran guru hari ini adalah amat berat sekali kerana gurulah yang diharap akan membentuk generasi yang akan datang dan seterusnya generasi yang dilahirkan itu akan menentukan corak negara bangsa. Kita juga benar-benar berharap agar berita baik ini menjadi pendorong kepada golongan guru untuk lebih gigih menabur bakti dengan penuh keikhlasan tanpa terlalu memikirkan ganjaran yang dijanjikan.



Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad, 16 Mei, mengumumkan ganjaran kewangan bersempena sambutan Hari Guru kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing.

Muhyiddin berkata mereka yang mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pelajaran yang ditetapkan bakal mendapat imbuhan wang tunai antara RM900 hingga RM7,500, mulai tahun ini.

“Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, tawaran baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.

“Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500, lima peratus guru-guru (terbaik) sekolah berkenaan pula, iaitu berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan mereka, akan menerima RM1,800 dan guru-guru selebihnya lagi akan menerima RM900,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ganjaran kewangan itu merupakan satu suntikan baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan gigih lagi bagi meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan pelajar.

Muhyiddin berkata ganjaran kewangan itu tidak terbatas hanya sekali sahaja untuk setiap sekolah: “Kalau sekolah itu meneruskan usahanya untuk tahun berikutnya, ia akan dapat lagi ganjaran itu,”.

Beliau berkata ganjaran kewangan itu akan diteruskan setiap tahun dan bagi tahun ini, pencapaian setiap sekolah akan dinilai selepas keputusan peperiksaan, sebelum ganjaran itu diberikan kepada mereka yang layak.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyidin turut mengumumkan beberapa inisiatif lain kepada golongan pendidik.

Antaranya, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,269 kenaikan pangkat bagi pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau bukan siswazah sehingga April 2010 ini.

“Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah bersetuju supaya kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata Pegawai Perkhidmatan Siswazah yang memperoleh ijazah doktor falsafah juga akan menikmati kenaikan satu gred sekiranya memenuhi kriteria dan syarat yang akan ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang menimbangkan pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan pencapaian yang lebih baik kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan.

Ditanya mengenai syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru, Muhyiddin berkata beberapa syor jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, akan dilaksanakan secepat mungkin.

Lawatan Akademik MT2313P Ke Pusat Sains Negara

Peserta Lawatan Akademik ke Pusat Sains Negara

Pada 3 April 2010, seramai 22 pelajar dari PPISMP 2G yang diiringi oleh seorang pensyarah pebimbing Jabatan Matematik telah mengadakan lawatan akademik ke Pusat Sains Negara. Lawatan tersebut bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar lebih mendalam mengenai matematik. Di samping itu, lawatan ini juga bertujuan untuk pelajar memahami konsep-konsep yang telah dipelajari dalam kuliah seterusnya praktikalnya diterapkan dari lawatan tersebut.

Rombongan tersebut telah memulakan perjalanan dari IPG Kampus Bahasa Melayu pada pukul 8 pagi. Semasa dalam perjalanan menuju ke lokasi, pensyarah pembimbing iaitu Puan Nor Afizah Bt Mohd Noor telah memberi sedikit taklimat mengenai lawatan tersebut. Perjalanan tersebut mengambil masa selama 45 minit. Setelah sampai di sana, semua peserta menikmati sarapan pagi sebelum memulakan lawatan. Semua pelajar berpecah dan membuat kajian masing-masing serta dibimbing oleh staf bantuan yang bertugas di sana. Pada pukul 10 pagi, peserta lawatan dan semua pengunjung di situ telah diminta untuk berkumpul diruang tengah pusat tersebut untuk menyaksikan pertunjukkan serta eksperimen mengenai sains. Walaupun pertunjukkan tersebut tidak ada kena mengena dengan objektif lawatan, tetapi semua peserta tetap memberi komitmen untuk menambahkan ilmu yang mereka ada. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk menjadi sukarela dalam pertunjukkan tersebut.

Salah Seorang Peserta Lawatan Menjadi Sukarela

Selepas tamat pertunjukkan, pensyarah pembimbing telah memberi arahan berkumpul dalam bas untuk bertolak pulang. Setelah semua pelajar berkumpul, bas pun bertolak meninggalkan Pusat Sains Negara tersebut. Menurut beberapa pelajar, mereka menyatakan lawatan ini memberi kesan yang mendalam serta memberi banyak ilmu pengetahuan.