Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Selamat Datang Ke Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Jabatan Matematik IPG KBM terletak di Tingkat 11, Menara IPG KBM. Jabatan Matematik digerakkan oleh seorang Ketua Jabatan dan empat orang pensyarah akademik yang dibantu oleh seorang Pembantu Am Pentadbiran.

Friday, November 18, 2011

Selamat Bercuti Akhir Semester 2011





Jabatan Matematik mengucapkan selamat bercuti akhir semester 2011 kepada semua pelajar-pelajar IPG KBM. Kegembiraan jelas terbayang di wajah pelajar-pelajar pada hari terakhir interaksi semester 2 2011 pada 18 November ketika melangkah keluar IPG KBM meninggalkan asrama menuju ke destinasi masing-masing. Semoga cuti dimanfaatkan sebaiknya.

Tuesday, August 23, 2011

Perhimpunan Bulan Jabatan Matematik Bersama Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak


Pada 22 Ogos 2011, Jabatan Matematik bersama Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak telah menjadi penganjur bersama Perhimpunan Bulanan bertempat di Dewan Za'ba, pada jam 10.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari. Tema perhimpunan bulanan tersebut ialah "Kanak-kanak Pewaris Kemerdekaan" yang dirasmikan oleh Pengarah IPG KBM, Yang Berbahagia To' Puan Dr. Hajah Fowzia Binti Osman. Perhimpunan tersebut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian kanak-kanak prasekolah , koir pelajar KPLI dan PPLD Permata, Majlis Penutupan Bulan Membaca anjuran Pusat Sumber dan diakhiri dengan acara pengibaran Jalur Gemilang yang diarak memasuki dewan.












Saturday, July 2, 2011

Mesyuarat Jabatan Matematik Bil 4/2011

Bincang apa tu....?


Mesyuarat Jabatan Matematik Bil.4/2011 telah diadakan pada 20 Jun 2011, Isnin bertempat di Jabatan Matematik pada jam 2.30 petang dan tamat pada jam 4.15 petang. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Jabatan, Pn Azizan Yeop Zaharie, dihadiri oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Matematik, Pn Nazimah Abdullah, Tn Hj Osman Mohd Ali dan Pn Nor Afizah Mohd Noor sebagai Setiausaha jabatan. Hanya Pn Ramlah Ahmad sahaja yang tidak hadir kerana sedang bercuti sakit. Ketua Jabatan mengalu-alukan kedatangan Tn Hj Osman Mohd Ali dari JPIPK ke Jabatan Matematik mulai semester 2 , 2011 Antara agenda yang dibincangkan ialah aktiviti jabatan Jun-Nov serta agihan interaksi-interaksi sepanjang semester 2, 2011.

Selamat Datang Tn Hj Osman Mohd Ali

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog ini. Jabatan Matematik IPG KBM mengucapkan selamat datang kepada Tn Hj Osman Mohd Ali dari Jabatan Penyelidikan Dan Inovasi Keguruan IPG KBM ke Jabatan Matematik IPG KBM. Kini Jabatan Matematik telah bertambah seorang ahli mulai semester 2, 2011 untuk menggantikan Pn Ramlah Ahmad yang sedang bercuti sakit panjang. Tn HJ Osman sememangnya memiliki kepakaran Ijazah Pertama Matematik sudah pasti dapat membantu Jabatan Matematik melaksanakan kursus-kursus yang ditawarkan oleh jabatan ini. Ahlan wa sahlan Tuan Haji.

Pensyarah Kanan

Sunday, June 12, 2011

Pakar Matematik bertaraf dunia


UMURNYA baru 29 tahun tetapi pencapaian dalam bidang matematik sangat mengagumkan. Dengan penampilannya yang besederhana, pasti ramai yang tidak menyangka Mohd. Suhaimi Ramly ialah seorang pakar matematik bertaraf dunia.

Bermula sebagai wakil negara dalam Pertandingan Matematik Olimpiad Antarabangsa (IMO) di Romania ketika berusia 16 tahun, Suhaimi kini bergelar pakar matematik bertaraf dunia.

Walaupun penyertaan kali pertamanya pada tahun 1999 itu tidak membuahkan hasil, ia tetap dianggap pengalaman bernilai yang memacu minatnya untuk berusaha lebih gigih.

“Sebelum ke IMO, saya menyertai Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) dan pernah meraih anugerah juara pada 1998 dan 2000.

“Ia keputusan yang tidak dijangka kerana saya memasuki OMK tanpa sebarang latihan. Selepas itu, barulah saya ditawarkan untuk berlatih bersama Prof. Abu Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewakili negara,” ujar bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka ini.

Pingat pertama negara

Kerja kerasnya berbaloi apabila terpilih sekali lagi untuk mewakili negara dalam pertandingan sama pada tahun berikutnya. Kali ini, dewan besar di Korea Selatan menjadi medan perjuangan Suhaimi.

“Alhamdulillah, saya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk negara. Ia adalah pingat pertama untuk Malaysia sejak menyertai pertandingan berprestij tersebut sejak tahun 1995,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur.

Tahun berikutnya, dia sekali lagi dipilih mewakili negara ke pertandingan sama. Kali ini, Suhaimi dan enam orang rakan terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menduduki peperiksaan IMO. Dengan mendapat satu jawapan betul, dia layak menerima Sijil Sanjungan Terhormat.

“IMO adalah satu pertandingan matematik bertaraf dunia untuk pelajar sekolah menengah. Lebih 100 negara mengambil bahagian dengan setiap negara menghantar enam orang wakil.

“Pertandingan ini tiada kategori. Lebih 500 pelajar pintar matematik dari seluruh dunia akan duduk dalam satu dewan besar untuk menjawab peperiksaan. Had umur yang ditetapkan ialah bawah 20 tahun dan belum memasuki universiti.

“Semua peserta tidak kira yang berusia 13 tahun hingga 20 tahun akan duduk dalam satu dewan dan menjawab soalan yang sama.

“Ia berlangsung selama dua hari. Untuk hari pertama, peserta akan diberikan tiga soalan dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh empat jam setengah. Rutin yang sama juga ditempuh untuk hari kedua.

“Mungkin ramai yang pelik, kenapa hanya tiga soalan dan mengapa ia perlu mengambil masa hingga empat jam setengah.

“Berdasarkan pengalaman terdahulu, masa yang diberikan itu tidak cukup kerana soalan-soalan yang diberikan amat sukar.

“Soalan itu sebenarnya direka oleh pakar-pakar matematik dan profesor dalam bidang ini dari seluruh dunia,” ujar graduan matematik dari Massachusetts Institute Of Technology (MIT) ini.

Gugup

Mengimbau pengalamannya bertanding di peringkat dunia, Suhaimi akui dia tidak dapat lari daripada perasaan gugup dan gementar terutamanya ketika kali pertama dia mewakili negara.

“Saya masih ingat lagi bila saya mendapat kertas soalan, saya hanya pandang soalan berjam-jam lamanya. Soalannya terlalu sukar sehinggakan saya tidak tahu dari mana saya harus mula menjawab.

“Sedar-sedar masa sudah tinggal setengah jam dan dalam masa yang terlalu singkat itu tidak banyak yang mampu saya lakukan,” kenangnya yang suka mengisi masa lapang dengan menyelesaikan soalan matematik.

Katanya lagi, minat terhadap subjek kira-kira itu bercambah ketika belajar di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Suhaimi sangat berterima kasih kepada guru matematiknya ketika itu, Cikgu Chiu Kam Choon.

“Beliau adalah insan yang membuatkan saya jatuh cinta pada matematik. Bagi saya, pengajarannya sangat berkesan dan sejak itu saya tidak lagi menganggap subjek mengira ini susah,” ujarnya yang kini menjadi Ketua Jurulatih Negara untuk IMO.

Julai depan, Suhaimi akan mengetuai pasukan negara bersama enam orang peserta untuk mengikuti IMO di Amsterdam, Belanda. Kali ini, dua peserta berusia 15 tahun turut terpilih mewakili negara ke pertandingan tersebut.

Selain dibiayai oleh Kementerian Pelajaran, badan korporat ExxonMobil turut sama menaja kumpulan Malaysia ke IMO.

“Para peserta perlu menjalani latihan intensif selama sekurang-kurangnya 250 jam sebelum layak memasuki IMO. Walaupun yang mendaftar itu semunya sering mendapat markah tertinggi dalam subjek ini, mereka perlu kuat berusaha dan berlatih sekurang-kurangnya empat jam sehari.

“Di bawah Persatuan Sains Matematik Malaysia (Persama), kami juga mempunyai sekumpulan jurulatih yang terdiri daripada pensyarah dan profesor matematik tempatan, diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa IMO Malaysia yang juga Timbalan Presiden Persama, Prof. Dr. Arsmah Ibrahim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Daripada sesi latihan dan ujian berperingkat yang dijalankan selama setahun, baru kita dapat kenal pasti enam peserta terbaik untuk mewakili negara.

“Asas pemilihan juga tidak bergantung sepenuhnya kepada kebijakan mereka menjawab soalan tetapi turut meliputi pemikiran kritis dan kreativiti mereka menyelesaikan masalah yang diberikan,” katanya yang turut menulis buku khas mengenai asas matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan. Antara topik yang telah diterbitkan ialah Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor dan Geometri.

Selain bertanggungjawab menjadi ketua kontinjen negara, Suhaimi juga merupakan juri antarabangsa termuda yang turut serta menyediakan soalan dan menanda kertas peperiksaan pada pertandingan matematik bertaraf dunia itu.

“Tahun lepas Malaysia telah memenangi pingat perak di IMO. Kalau boleh, tahun ini kita mahu pingat emas,” ungkapnya.


Monday, June 6, 2011

Angin Ahmar Mendorong Pesara Cipta Fomula Matematik

JALUDIN menunjukkan buku formula matematik karangannya di Ampang semalam.


HKOSMO 7 JUN, KUALA LUMPUR – Derita penyakit angin ahmar yang menyerang Jaludin Meran, 66, di sini pada tahun 2008 mendorong kejayaannya mencipta formula cara mudah menguasai Matematik.

Jaludin yang pernah berkhidmat sebagai Pengawal Trafik Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia selama 12 tahun memberitahu, semasa sakit, dia banyak mencari formula Matematik kerana proses berfikir itu banyak membantu pemulihannya.

“Selepas itu, saya banyak buat kajian dan mendapati jika ingin kembali sihat saya perlu banyak buat latihan menggunakan otak dan disebabkan saya suka Matematik, jadi saya cipta formula untuk menguasainya.

“Selama setahun setengah saya mencuba dan kini saya berjaya mencipta cara mudah untuk menguasai Matematik menggunakan teknik kira sebelah kiri dan melalui sistem kod,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Kosas di sini semalam.

Menurut Jaludin, formula tersebut sesuai untuk pelajar untuk menguasai Matematik kerana kesemua formula itu termasuk kaedah menghafal kalendar ditulis dalam sebuah buku setebal 110 halaman yang bertajuk Be A Math Genius In 10 Days.

Bagaimanapun, bekas guru Matematik di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur itu berhasrat menerbitkan buku berkenaan dan masih mencari penerbit bagi mencetak dan memasarkan bukunya.

Sunday, May 8, 2011

Al Fatihah

Timbalan Pengarah IPG KBM, Puan Jamaliah Mohd Salleh

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung yang dihormati. Al Fatihah buat Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Pn Jamaliah Mohd Salleh, yang kembali ke rahmatullah pada 8 Mei 2011, jam 5.15 pagi, di Hospital Selayang. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan mendapat keampunan serta rahmat dariNya.

Kami, seluruh warga IPG KBM, merasa amat sedih dan begitu kehilangan seorang anggota keluarga IPG KBM yang penuh dedikasi, penyayang serta penuh dengan sifat keibuan. Pemergian beliau sukar untuk dicari ganti. Didoakan keluarga Allahyarham bersabar atas pemergian insan tersayang dan insyaAllah ujian yang perit ini pasti diganjari Allah dengan pahala yang tidak putus-putus. Jasa dan ilmu yang ditaburkan untuk anak bangsa disepanjang hayat, pasti menjadi pahala sedekah yang berterusan buat Allahyarhamah. Al-Faatihah.

Wednesday, March 30, 2011

Kursus-kursus Matematik Yang Ditawarkan Pada Semester 1, 2011


Pada semester 1 bagi tahun 2011, empat kursus Matematik telah ditawarkankan untuk guru-guru pelatih IPG KBM. Kursus-kursus tersebut ialah Matematik Asas MT 2311D, 1 jam kredit bagi pelajar-pelajar PPISMP semester 2, Pengajaran Nombor, Pecahan, Perpuluhan dan Peratus MTE 3109, 4 jam kredit yang diwajibkan untuk pelajar PISMP Major Pemulihan semester 5, Kurikulum Pendidikan Matematik MTE 3102 , 3 jam kredit untuk pelajar PISMP Major Pemulihan semester 3 dan Minor Matematik, 3 jam kredit yang ditawarkan untuk pelajar KPLI Ambilan Januari 2011 yang mengambil Matematik sebagai kursus elektif. Selamat berkursus semua. Matematik itu mudah !

Monday, March 7, 2011

Mengenali GPS



satellite

GPS atau Global Positioning System adalah sistem penunjuk arah bersatelit (satellite-based navigation), merupakan rangkaian satelit 24 jam yang beredar di orbit yang dilancarkan oleh Kementerian Pertahanan Amerika. Tujuan asal GPS ialah untuk kegunaan ketenteraan pada era 80an, tetapi hari ini kegunaannya dibuka kepada orang awam. GPS berfungsi dalam apa jua keadaan cuaca, dimana-mana sahaja di dunia ini dan berfungsi 24 jam sehari. Tidak ada sebarang cas dikenakan terhadap penggunaan GPS.


GPS Screens

GPS untuk kenderaan telah direkacipta untuk kemudahan pemandu-pemandu kereta mencari arah dan tempat yang dituju. Sistem mencari arah kenderaan menggunakan GPS adalah untuk memperolehi data supaya dapat menentukan kedudukan pengguna atau pemandu pada peta elektronik. GPS akan memberi arahan ke lokasi lain yang ditunjukkan dalam peta elektronik tersebut.



Bagaimana GPS berfungsi ? Satelit GPS beredar mengelilingi bumi dua kali sehari dalam orbit yang tepat dan memancarkan isyarat maklumat ke bumi. Penerima GPS mengambil maklumat ini dan mengira kedudukan tepat pengguna GPS berdasarkan kedudukan latitut dan longitut.

Satellite Diagram

Pada dasarnya, penerima GPS membandingkan masa isyarat dihantar oleh satelit dengan masa isyarat diterima. Perbezaan masa menerangkan kepada penerima GPS berapa jauh kedudukan satelit. Oleh itu, dengan ukuran jarak daripada beberapa satelit lagi, penerima GPS boleh menentukan kedudukan pengguna GPS dan mempamerkan kedudukan pengguna pada peta elektronik.

Penerima GPS mesti memasang pengesan isyarat dari sekurang-kurangnya tiga satelit untuk mengira posisi 2D (latitut dan longitut) dan landasan pergerakan. Dengan tiga atau empat satelit, penerima isyarat boleh menentukan posisi 3D pengguna (latitut, longitut dan altitut). Apabila kedudukan pengguna ditentukan, unit GPS dapat memberi maklumat yang lain seperti kelajuan, bearing, landasan, jarak perjalanan, jarak destinasi, masa matahari terbit dan terbenam dan pelbagai maklumat yang lain.



Sunday, February 27, 2011

Perhimpunan Unit Beruniform Tahun 2011






Perhimpunan bulanan unit beruniform telah diadakan pada 23 Februari 2011 di Dewan Za'ba pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Perhimpunan Unit Beruniform kali pertama bagi tahun 2011 ini dikelolakan oleh Unit Beruniform Kadet Remaja Sekolah IPG KBM. Perhimpunan ini dirasmikan oleh Tn Hj Abdul Hamid Mukri merangkap pemimpin tertinggi Unit beruniform Bulan Sabit Merah IPG KBM dan telah dihadiri oleh pensyarah-pensyarah penasihat unit beruniform. Majlis diserikan dengan persembahan kawad formasi oleh Pasukan Kadet Remaja sekolah IPG KBM dan persembahan video mengenai latar belakang Unit Beruniform Kadet Remaja sekolah. Dua pensyarah dari Jabatan Matematik yang terlibat sebagai Pensyarah Penasihat Unit Beruniform iaitu Pn Ramlah Ahmad dan Pn Nor Afizah Mohd Noor, turut hadir di perhimpunan ini.

Maulidur Rasul IPG KBM 18 Rabiulawwal 1432H






Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu telah mengadakan perhimpunan bulanan Sambutan Maulidur Rasul 1432H, pada 21 Februari 2011 bersamaan 18 Rabiulawwal 1432H di Dewan Za'ba pada jam 2.15 hingga 4.30 petang. Sambutan Maulidur Rasul ini dianjurkan bersama oleh JAPIM, Jabatan Penyelidikan Inovasi Profesionalisme Keguruan (JPIPK), JHEP, Unit Kokurikulim, Unit Praktikum, Unit Peperiksaan dan Kelab Rakan Islah.

Majlis dimulakan dengan perarakan serta salawat oleh ahli-ahli Rakan Islah serta pensyarah-pensyarah IPG KBM yang bermula dari blok Pra-sekolah menuju ke dalam Dewan Za'ba. Seperti biasa majlis dibuka dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa serta bacaan ikrar Perkhidmatan Awam.

Dr Tn Hj Ali bin Mahmud, sebagai wakil Timbalan Pengarah yang sedang bercuti, sudi merasmikan Sambutan Maulidur Rasul tersebut. Antara aturcara sambutan ialah bacaan ayat suci Al-Quran oleh seorang pelajar IPG KBM , persembahan teater "Jangan Bunuh Rama-rama" oleh pelajar-pelajar PPISMP 2E, yang dipimpin oleh Pn Faziah Sulaiman dan persembahan nasyid dari kumpulan nasyid IPG KBM, Shoutul Hidayah.

Antara objektif Sambutan Maulidur Rasul ini diadakan ialah untuk memperingati peristiwa kelahiran Rasulullah saw, menjadikan sifat-sifat peribadi Rasulullah sebagai contoh teladan, mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga IPG KBM dan mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan pensyarah serta guru pelatih. Tahniah kepada semua yang telah menjayakan program ini.

Mesyuarat Jabatan Matematik Bil.2/2011



Mesyuarat Jabatan Matematik kali kedua telah diadakan pada 22 Januari 2011, pada jam 8.30 -10.30 pagi yang bertempat di Jabatan Matematik. Mesyuarat dihadiri oleh kesemua pensyarah Jabatan Matematik. Antara agenda yang dibangkitkan ialah aktiviti Februari 2011, makluman-makluman dari Mesyuarat MPPP Bil.2/2011 dan juga perkongsian ilmu dari LPS yang telah dihadiri oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Matematik.

Wednesday, February 16, 2011

Apa Kaitan Reka Bentuk Kereta Dengan Matematik ?


Ramai yang sebenarnya tidak menyedari bahawa perekaan bentuk kereta ada kaitan dengan matematik. Mungkin ada yang tertanya-tanya di mana kaitannya reka bentuk kereta dengan matematik tersebut. Ya, dalam mereka bentuk sebuah kereta , pereka bentuk kereta perlu melukis bentuk kereta yang dihajati dalam bentuk diagram 2 dimensi yang dinamakan 'pelan kereta' yang dilukis berdasarkan sudut dongakan yang berbeza. Jadi disinilah perkaitan itu berlaku bila mana pereka bentuk kereta perlu mahir menggunakan pelan dan dongakan iaitu salah satu kemahiran melihat ruang (spatial sense) dalam matematik.


Istilah 'pelan' dan 'dongakan' (plan and elevations) merupakan dua istilah teknikal yang sering digunakan dalam bidang perekaan bentuk kereta. Malah istilah ini juga sering digunapakai dalam penciptaan reka bentuk bangunan, ruang dan juga komponen produk. Diagram 2D yang dilukiskan berdasarkan sudut pandangan tertentu, dinamakan pelan, bertujuan menggambarkan objek yang sebenar atau yang bakal dibina dan dapat memberi maklumat yang cukup dan terperinci kepada pengeluar kereta atau produk yang dicipta.



Pereka bentuk kereta bertanggungjawab mereka bentuk luaran kereta, menambahbaik bentuk bahagian-bahagian tertentu dan juga permukaan-permukaan yang terdapat pada badan kenderaan tersebut. Pada zaman ini, teknologi komputer banyak membantu pereka bentuk kereta melukis pelan tanpa perlu melukis pelan secara manual. Dari pelan kereta inilah, prototaip kereta terhasil.


Pelan kereta perlu dibuat dengan penuh berhati-hati dan teliti kerana industri pembuatan kereta menelan belanja yang cukup mahal bagi mengeluarkan kereta yang mempunyai reka bentuk yang baharu. Kesilapan melukis pelan kereta boleh mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit bagi syarikat pengeluar kereta.



Salah satu contoh pelan kereta yang dilukis dari sudut dongakan yang berbeza

Anda berminat menceburi bidang perekaan bentuk kereta ? Pastikan anda betul-betul menguasai tajuk "Pelan Dan Dongakan" dalam matematik. Mana tahu, anda mungkin seorang pereka yang kreatif !


Kereta yang dibuat berdasarkan pelannya

Wednesday, February 9, 2011

Apa Bezanya Masalah Rutin Dengan Masalah Bukan Rutin ?

Masalah-masalah matematik boleh dikategorikan kepada berbagai-bagai bentuk. walaupun demikian, ada kalanya kita dapati ada masalah yang bertindih kategorinya.

Masalah rutin
Masalah-masalah yang melibatkan hanya satu operasi aritmetik sahaja dalam penyelesaiannnya dikategorikan sebagai masalah rutin. masalah-masalah rutin hanya memerlukan pelajar memahami masalah, memilih operasi yang sesuai serta mempraktikkan algoritma-algoritma yang telah dipelajari. Prosedur penyelesaiannya diketahui oleh pelajar. walaubagaimana pun masalah-masalah matematik yang rutin ada fungsinya kerana ia:
  • memberi latihan dalam ingatan fakta-fakta asas dan langkah-langkah yang berturutan
  • mempertingkatkan kemahiran-kemahiran dalam operasi-operasi asas
  • memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir tenteng perkaitan di antara sesuatu operasi dan aplikasinya kepada situasi-situasi sebenar.
Masalah rutin adalah masalah yang diketahui jalan penyelesainnya dengan satu strategi mudah


Apabila menyelesaikan masalah-masalah rutin, pelajar perlu mengenalpasti:
  • Apakah soalannya yang perlu dijawab
  • fakta-fakta atau nombor-nombor yang perlu digunakan
  • Operasai-operasi matematik yang sesuai digunakan
  • anggaran nilai penyelesaian

Masalah bukan rutin
Sudah tentu masalah-masalah bukan rutin memerlukan proses-proses yang lebih tinggi daripada yang terlibat dalam penyelesaian masalah-masalah rutin. Kejayaan dalam penyelesaian masalah-masalah bukan rutin bergantung kepada kebolehan pelajar menggunakan pelbagai strategi penyelesaian masalah bersama dengan fakta-fakta dan maklumat dalam pertimbangan. Prosedur menyelesaikannya adalah tidak diketahui pelajar. Masalah-masalah bukan rutin biasanya diselesaikan dengan pelbagai cara yang memerlukan proses pemikiran yang berbeza-beza. Nyata sekali pelajar dikehendaki menggunakan kemahiran secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah bukan rutin.

Masalah bukan rutin perlu diselesaikan dengan pelbagai cara yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif

Masalah-masalah bukan rutin harus digunakan dalam program matematik sekolah rendah kerana boleh;
  • mengembangkan penggunaan strategi-strategi penyelesaian masalah
  • membekalkan peluang kepada pelajar untuk memikirkan pelbagai cara penyelesaian, berkongsi kaedah-kaedah penyelesaian masalah dengan pelajar-pelajar lain dan mengembangkan keyakinan diri dalam penyelesaian masalah matematik.
  • mendorong pelajar untuk menikmati keindahan dan logik yang wujud dalam matematik
  • mengembangkan kemahiran-kemahiran berfikir secara kritis berbanding dengan hafalan petua, peraturan dan fakta tanpa kefahaman.

Tuesday, February 8, 2011

Model Penyelesaian Masalah Polya

Pakar matematik Hungari, George Polya 1887-1985

Pada tahun 1945, George Polya telah menerbitkan buku How To Solve It yang telah menjadi sebuah penerbitan tersohor pada ketika itu. Bukunya telah terjual lebih satu juta naskah dan diterjemahkan dalam 17 bahasa. Dalam buku ini beliau telah memperkenalkan 4 prinsip dalam penyelesaian masalah matematik.

Prinsip pertama : Memahami Masalah
Pelajar seringkali gagal menyelesaikan masalah kerana semata-mata mereka tidak memahami masalah tersebut. Polya telah mengajar guru-guru untuk bertanya pelajar soalan-soalan berikut :
  • Adakah kamu memahami semua makna istilah/perkataan yang digunakan dalam masalah tersebut ?
  • Apa yang perlu kamu cari dan tunjukkan ?
  • Bolehkah kamu menyusun semula ayat-ayat dengan perkataan sendiri ?
  • Bolehkah kamu menggunakan gambar atau diagram yang boleh membantu kamu memahamkan masalah ?
  • Adakah maklumat cukup untuk menyelesaikan masalah ?
Prinsip kedua : Merangka strategi
Polya menegaskan, ada pelbagai strategi untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran memilih strategi yang sesuai bergantung kepada berapa banyaknya pengalaman kita menyelesaikan masalah sebelum ini. Antara strategi yang boleh membantu ialah:
  • Cuba jaya
  • membuat senarai yang tersusun
  • mengenalpasti kemungkinan-kemungkinan
  • menggunakan simetri
  • menimbangkan kes istimewa
  • menyelesaikan persamaan
  • melihat pola
  • melukis gambar
  • menyelesaikan masalah kecil terlebih dahulu
  • guna model
  • bekerja dari bawah/ menggunakan maklumat terakhir terlebih dahulu
  • guna formula
  • guna analogi/perbandingan
  • lakonkan/ujikaji
  • mempermudahkan masalah
Prinsip ketiga : Melaksanakan strategi
langkah ini biasanya lebih mudah dari merancang strategi. Yang pelajar perlukan pada langkah ini ialah ketekunan dan berhati-hati apabila menggunakan kemahiran yang sedia ada. Jika tidak berjaya menyelesaikannya, patah semula ke langkah pertama dan merancang strategi berbeza. Ini adalah langkah biasa dalam matematik yang juga digunakan oleh pakar matematik sekalipun.

Prinsip keempat : Menyemak jawapan
Polya merasakan adalah wajar mengambil sedikit masa untuk menyemak jawapan dan membuat refleksi. Ini bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan dan memantapkan pengalaman untuk mencuba masalah baru yang akan datang. Gunakanlah Model Polya untuk menyelesaikan sebarang masalah hari ini.

Monday, January 24, 2011

Mesyuarat Jabatan Matematik Bil.1/2011

Jabatan Matematik IPG KBM telah menjalankan mesyuarat pertamanya bagi tahun 2011 pada 24 Januari 2011, pada jam 2.30 petang, bertempat di Jabatan Matematik yang terletak di Asrama Bukit Pantai. Kesemua pensyarah Jabatan Matematik telah menghadirkan diri ke mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Pn Azizan sebagai Ketua Jabatan. Antara agenda yang dibincangkan ialah Pelaksanaan Aktiviti Jan-Mei 2011, tarikh-tarikh aktiviti penting IPG KBM sepanjang Januari hingga Mei serta perkongsian ilmu dari kursus-kursus yang dihadiri. Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 4.10 petang.

Gambar hiasan

Thursday, January 20, 2011

Apa Itu LINUS ?

  1. LATAR BELAKANG

    1. Y.A.B Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin telah membentangkan Bidang Keberhasilan Utama [National Key Result Areas (NKRA’s)] Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Ogos 2009.

    2. Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diamanahkan untuk mengawas, melaksana dan menyelaras Ministry Key Performance Indicator(NKPI) 3.2 KPM iaitu semua murid yang tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.

    3. Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) pula dipertanggungjawabkan untuk menerajui projek ini dengan kerjasama semua bahagian dalam KPM. Sehubungan dengan itu, satu program alternatif telah dirangka untuk murid Tahun 1, 2 dan 3 (Tahap I) yang belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Projek ini dinamai Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang merupakan penambahbaikan daripada program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk murid Tahun 1 yang dilaksanakan mulai tahun 2006.

    4. Murid berkeperluan khas yang meliputi murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah kepelbagaian deria, masalah fizikal, dan terencat akal, kurikulum yang khusus telah dibina.

    RASIONAL

    5. Asas literasi dan numerasi merupakan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan murid berkomunikasi dan berinteraksi dalam kehidupan seharian serta untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

    6. Data KIA2M pada tahun 2008 menunjukkan sebanyak 54,000 murid Tahun 1 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi). Data PROTIM tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 48,233 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi) sementara sebanyak 117,000 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas mengira (numerasi).

    7. Data Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM menunjukkan kadar keciciran murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia pada tahun 2008 adalah sebanyak 31,939.

    8. KPM berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi seawal Tahap I. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.

    DEFINISI KONSEP

    9. Definisi LINUS: LINUS ialah akronim bagi “Literacy and Numeracy Screening”. LINUS merupakan program intervensi yang dirangka untuk membolehkan murid memperoleh asas literasi (bahasa Malaysia) dan asas numerasi semasa di sekolah rendah. LINUS disasarkan kepada murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

    10. Definisi Literasi: Definisi literasi adalah “keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk (dengan menggunakan kata hubung), mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian.


    MATLAMAT

    11. Matlamat program ini adalah untuk memastikan semua murid Tahap I sekolah rendah berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi pada akhir tahun 2012 kecuali murid berkeperluan khas.

    OBJEKTIF

    12. Objektif Program Literasi

    Pada akhir Program Literasi murid berupaya:

    i. Mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup;

    ii. membaca dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup; dan

    iii. membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah dengan menggunakan kata hubung ‘dan’.

    13. Objektif Program Numerasi:

    Pada akhir Program Numerasi murid berupaya:

    i. Membaca, menulis, membilang dan menyusun nombor hingga 1000;

    ii. membilang dua-dua, lima-lima dan sepuluh-sepuluh dalam lingkungan 1000 bermula daripada sebarang nombor;

    iii. menyatakan fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi; dan;

    iv. mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik dalam wang, menyatakan waktu, ukuran dan sukatan.

    KUMPULAN SASARAN

    14. Kumpulan sasaran ialah murid Tahap I yang berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi kecuali murid berkeperluan khas yang mengikuti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (Program Pendidikan Khas Integrasi; Masalah Pembelajaran, Masalah Pendengaran dan Masalah Penglihatan) dan Sekolah Rendah Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran), Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

    STRATEGI PELAKSANAAN PROGRAM LINUS

    15. Makmal NKRA bagi program LINUS telah mengemukakan enam strategi utama LINUS iaitu:

    i. melaksanakan saringan terhadap murid pada tahun 1, 2 dan 3;

    ii. melaksanakan fokus intervensi bagi menyediakan program pemulihan dan komprehensif;

    iii. meningkatkan kemahiran pedagogi guru;

    iv. melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti;

    v. menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian; dan

    vi. mewujudkan jawatan fasiLINUS di Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru memastikan murid berupaya membaca, menulis dan mengira.

    16. Murid yang telah dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan diajar secara intensif oleh guru LINUS dan guru pemulihan khas LINUS. Murid yang mengikuti program ini akan menduduki Saringan 2 pada bulan Jun dan Saringan 3 pada bulan September (jika perlu).

    17. Pemilihan Guru LINUS: Guru yang menjalankan program ini terdiri daripada guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap I dan dibantu oleh Guru Pemulihan Khas.

    18. Guru pemulihan khas ditempatkan di sekolah mengikut nisbah murid LINUS tegar. Nisbah guru-murid bagi program ini adalah 1:15 supaya tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada murid berkenaan. Dicadangkan satu jam setiap hari guru pemulihan memberi tumpuan kepada 4 atau 5 orang murid sahaja untuk literasi dan satu jam lagi untuk numerasi.

    19. Guru sedia ada (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik) yang melaksanakan program ini perlu diberi latihan khusus dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk menangani murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi.

    20. Jadual Waktu: Program LINUS dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu Matematik mengikut peruntukan waktu yang sedia ada. Sebanyak 360 minit seminggu diperuntukan bagi Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan dan 270 minit seminggu di Sekolah Jenis Kebangsaan, manakala 210 minit seminggu bagi Matematik.

    21. Pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara untuk menjalankan program ini mengikut kesesuaian waktu dan kemudahan sekolah. Namun, pihak sekolah hendaklah memastikan perlaksanaan program ini berkesan dan mencapai matlamatnya.

    22. Kemudahan ICT: Kemudahan ICT yang terdiri daripada komputer dan LCD yang sedia ada di sekolah perlu dimanfaatkan untuk kegunaan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

    PEMANTAUAN DAN PENYELIAAN

    23. Pemantauan dan penyeliaan dilaksanakan di sekolah terpilih iaitu 8 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah rendah. Pegawai yang terlibat terdiri daripada pegawai Bahagian KPM, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Pemantauan ini akan diterajui oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

    24. Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Akademik di setiap sekolah perlu menyelia Program LINUS dari semasa ke semasa.

    25. Satu mekanisme sistem pelaporan untuk memantau kemajuan murid LINUS diadakan. Status penguasaan murid perlu dilaporkan menggunakan sistem yang dibangunkan oleh KPM setiap kali saringan dilaksanakan.

    KANDUNGAN PROGRAM

    26. Program LINUS menggunakan kurikulum KBSR sebagai asas dalam menentukan skop kandungan pengajaran dan pembelajaran.

    27. Kandungan skop kurikulum literasi bermula dengan pengenalan abjad, suku kata, perkataan, frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah seperti dalam Lampiran 1.

    28. Kandungan skop kurikulum numerasi merangkumi aspek nombor bermula dari sifar hingga angka 1000, yang melibatkan operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi, di samping mengaplikasikannya dalam pengiraan pengukuran seperti dalam Lampiran 2.

    BAHAN DAN INSTRUMEN LITERASI DAN NUMERASI

    29. Murid yang mengikuti Program LINUS menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan numerasi yang sesuai dengan tahap keupayaan murid bagi memastikan kejayaan program ini.

    30. Guru digalakkan menyedia dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian murid dan kreativiti.

    31. Instrumen saringan dibina dan diguna pakai untuk menentukan sama ada murid telah menguasai asas literasi dan numerasi. Pembinaaan instrumen saringan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

    PELAPORAN

    32. Pengumpulan data saringan dan analisis data dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) sementara laporan pemantauan disediakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

    PERJAWATAN

    33. Jawatan fasiLINUS diwujudkan di PPD untuk membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran Program LINUS di sekolah.

    34. Jawatan Guru Pemulihan Khas akan ditambah di sekolah bagi melaksanakan Program LINUS.

    PENUTUP

    35. Program ini menegaskan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid yang berkeupayaan kecuali murid berkeperluan khas pada peringkat awal persekolahan. Komitmen semua pihak adalah diharap untuk memastikan program ini berjaya selaras dengan sasaran NKRA.