Assalamualaikum / Salam Sejahtera

Selamat Datang Ke Jabatan Matematik

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Jabatan Matematik IPG KBM terletak di Tingkat 11, Menara IPG KBM. Jabatan Matematik digerakkan oleh seorang Ketua Jabatan dan empat orang pensyarah akademik yang dibantu oleh seorang Pembantu Am Pentadbiran.

Wednesday, February 16, 2011

Apa Kaitan Reka Bentuk Kereta Dengan Matematik ?


Ramai yang sebenarnya tidak menyedari bahawa perekaan bentuk kereta ada kaitan dengan matematik. Mungkin ada yang tertanya-tanya di mana kaitannya reka bentuk kereta dengan matematik tersebut. Ya, dalam mereka bentuk sebuah kereta , pereka bentuk kereta perlu melukis bentuk kereta yang dihajati dalam bentuk diagram 2 dimensi yang dinamakan 'pelan kereta' yang dilukis berdasarkan sudut dongakan yang berbeza. Jadi disinilah perkaitan itu berlaku bila mana pereka bentuk kereta perlu mahir menggunakan pelan dan dongakan iaitu salah satu kemahiran melihat ruang (spatial sense) dalam matematik.


Istilah 'pelan' dan 'dongakan' (plan and elevations) merupakan dua istilah teknikal yang sering digunakan dalam bidang perekaan bentuk kereta. Malah istilah ini juga sering digunapakai dalam penciptaan reka bentuk bangunan, ruang dan juga komponen produk. Diagram 2D yang dilukiskan berdasarkan sudut pandangan tertentu, dinamakan pelan, bertujuan menggambarkan objek yang sebenar atau yang bakal dibina dan dapat memberi maklumat yang cukup dan terperinci kepada pengeluar kereta atau produk yang dicipta.



Pereka bentuk kereta bertanggungjawab mereka bentuk luaran kereta, menambahbaik bentuk bahagian-bahagian tertentu dan juga permukaan-permukaan yang terdapat pada badan kenderaan tersebut. Pada zaman ini, teknologi komputer banyak membantu pereka bentuk kereta melukis pelan tanpa perlu melukis pelan secara manual. Dari pelan kereta inilah, prototaip kereta terhasil.


Pelan kereta perlu dibuat dengan penuh berhati-hati dan teliti kerana industri pembuatan kereta menelan belanja yang cukup mahal bagi mengeluarkan kereta yang mempunyai reka bentuk yang baharu. Kesilapan melukis pelan kereta boleh mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit bagi syarikat pengeluar kereta.



Salah satu contoh pelan kereta yang dilukis dari sudut dongakan yang berbeza

Anda berminat menceburi bidang perekaan bentuk kereta ? Pastikan anda betul-betul menguasai tajuk "Pelan Dan Dongakan" dalam matematik. Mana tahu, anda mungkin seorang pereka yang kreatif !


Kereta yang dibuat berdasarkan pelannya

Wednesday, February 9, 2011

Apa Bezanya Masalah Rutin Dengan Masalah Bukan Rutin ?

Masalah-masalah matematik boleh dikategorikan kepada berbagai-bagai bentuk. walaupun demikian, ada kalanya kita dapati ada masalah yang bertindih kategorinya.

Masalah rutin
Masalah-masalah yang melibatkan hanya satu operasi aritmetik sahaja dalam penyelesaiannnya dikategorikan sebagai masalah rutin. masalah-masalah rutin hanya memerlukan pelajar memahami masalah, memilih operasi yang sesuai serta mempraktikkan algoritma-algoritma yang telah dipelajari. Prosedur penyelesaiannya diketahui oleh pelajar. walaubagaimana pun masalah-masalah matematik yang rutin ada fungsinya kerana ia:
  • memberi latihan dalam ingatan fakta-fakta asas dan langkah-langkah yang berturutan
  • mempertingkatkan kemahiran-kemahiran dalam operasi-operasi asas
  • memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir tenteng perkaitan di antara sesuatu operasi dan aplikasinya kepada situasi-situasi sebenar.
Masalah rutin adalah masalah yang diketahui jalan penyelesainnya dengan satu strategi mudah


Apabila menyelesaikan masalah-masalah rutin, pelajar perlu mengenalpasti:
  • Apakah soalannya yang perlu dijawab
  • fakta-fakta atau nombor-nombor yang perlu digunakan
  • Operasai-operasi matematik yang sesuai digunakan
  • anggaran nilai penyelesaian

Masalah bukan rutin
Sudah tentu masalah-masalah bukan rutin memerlukan proses-proses yang lebih tinggi daripada yang terlibat dalam penyelesaian masalah-masalah rutin. Kejayaan dalam penyelesaian masalah-masalah bukan rutin bergantung kepada kebolehan pelajar menggunakan pelbagai strategi penyelesaian masalah bersama dengan fakta-fakta dan maklumat dalam pertimbangan. Prosedur menyelesaikannya adalah tidak diketahui pelajar. Masalah-masalah bukan rutin biasanya diselesaikan dengan pelbagai cara yang memerlukan proses pemikiran yang berbeza-beza. Nyata sekali pelajar dikehendaki menggunakan kemahiran secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah bukan rutin.

Masalah bukan rutin perlu diselesaikan dengan pelbagai cara yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif

Masalah-masalah bukan rutin harus digunakan dalam program matematik sekolah rendah kerana boleh;
  • mengembangkan penggunaan strategi-strategi penyelesaian masalah
  • membekalkan peluang kepada pelajar untuk memikirkan pelbagai cara penyelesaian, berkongsi kaedah-kaedah penyelesaian masalah dengan pelajar-pelajar lain dan mengembangkan keyakinan diri dalam penyelesaian masalah matematik.
  • mendorong pelajar untuk menikmati keindahan dan logik yang wujud dalam matematik
  • mengembangkan kemahiran-kemahiran berfikir secara kritis berbanding dengan hafalan petua, peraturan dan fakta tanpa kefahaman.

Tuesday, February 8, 2011

Model Penyelesaian Masalah Polya

Pakar matematik Hungari, George Polya 1887-1985

Pada tahun 1945, George Polya telah menerbitkan buku How To Solve It yang telah menjadi sebuah penerbitan tersohor pada ketika itu. Bukunya telah terjual lebih satu juta naskah dan diterjemahkan dalam 17 bahasa. Dalam buku ini beliau telah memperkenalkan 4 prinsip dalam penyelesaian masalah matematik.

Prinsip pertama : Memahami Masalah
Pelajar seringkali gagal menyelesaikan masalah kerana semata-mata mereka tidak memahami masalah tersebut. Polya telah mengajar guru-guru untuk bertanya pelajar soalan-soalan berikut :
  • Adakah kamu memahami semua makna istilah/perkataan yang digunakan dalam masalah tersebut ?
  • Apa yang perlu kamu cari dan tunjukkan ?
  • Bolehkah kamu menyusun semula ayat-ayat dengan perkataan sendiri ?
  • Bolehkah kamu menggunakan gambar atau diagram yang boleh membantu kamu memahamkan masalah ?
  • Adakah maklumat cukup untuk menyelesaikan masalah ?
Prinsip kedua : Merangka strategi
Polya menegaskan, ada pelbagai strategi untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran memilih strategi yang sesuai bergantung kepada berapa banyaknya pengalaman kita menyelesaikan masalah sebelum ini. Antara strategi yang boleh membantu ialah:
  • Cuba jaya
  • membuat senarai yang tersusun
  • mengenalpasti kemungkinan-kemungkinan
  • menggunakan simetri
  • menimbangkan kes istimewa
  • menyelesaikan persamaan
  • melihat pola
  • melukis gambar
  • menyelesaikan masalah kecil terlebih dahulu
  • guna model
  • bekerja dari bawah/ menggunakan maklumat terakhir terlebih dahulu
  • guna formula
  • guna analogi/perbandingan
  • lakonkan/ujikaji
  • mempermudahkan masalah
Prinsip ketiga : Melaksanakan strategi
langkah ini biasanya lebih mudah dari merancang strategi. Yang pelajar perlukan pada langkah ini ialah ketekunan dan berhati-hati apabila menggunakan kemahiran yang sedia ada. Jika tidak berjaya menyelesaikannya, patah semula ke langkah pertama dan merancang strategi berbeza. Ini adalah langkah biasa dalam matematik yang juga digunakan oleh pakar matematik sekalipun.

Prinsip keempat : Menyemak jawapan
Polya merasakan adalah wajar mengambil sedikit masa untuk menyemak jawapan dan membuat refleksi. Ini bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan dan memantapkan pengalaman untuk mencuba masalah baru yang akan datang. Gunakanlah Model Polya untuk menyelesaikan sebarang masalah hari ini.